Seisi dunia hanyalah pinjaman semata-mata. Apa yang ada di bumi ini adalah pinjaman Allah yang Maha Esa. Bulan, bintang, matahari, dan masa adalah milikNya. Lautan sejauhnya dan langit seluas mata memandang juga hanyalah pinjaman Allah buat hambaNya. Begitu juga dengan keluarga, ayah, ibu, abang, kakak, adik, suami atau isteri serta anak-anak kecil yang mampu membuat kita tersenyum gembira. Mereka juga adalah pinjaman kepada kita. Pendek kata, apa yang kita miliki semuanya milik Allah. Ya, kita harus sedar tentang hakikat itu. Kita tak mungkin memiliki kebahagiaan dan kenikmatan hidup jika Allah tidak membenarkan kita memilikinya.
Hari ini aku lebih mengerti, mengapa Allah mengambil kembali pinjaman yang telah Dia kurniakan kepada aku dan keluarga. Mengapa pinjamanNya pada kami hanya sekejap cuma. Ya, Allah lebih sayangkan dia lebih dari bagaimana kami semua menyayanginya. Allah mahu lindungi dia dari niat tidak baik dan fitnah manusia. Allah juga mahu aku dan keluarga mengukuhkan keimanan kami kepadaNya. Allah mahu kami lebih tabah dalam menjalani dugaanNya.
Jika sebelum ini aku kadang kala tertanya, mengapa dia diambil terlalu awal dariku berbanding dengan rakan-rakan yang lain? Mengapa cuma sekejap masa yang diberikan untukku bersamanya berbanding mereka? Mengapa Allah berikan pinjaman yang lama kepada orang-orang yang tidak tahu menghargainya? Sudah 9 tahun pemergiannya. Namun wajah, senyuman dan kata-katanya masih kejap kukuh dalam ingatanku. Aku juga masih belajar untuk meredhakan sepenuhnya pemergiannya. Namun, hari ini aku lebih mengerti. Apa yang Allah tentukan ada hikmahnya buatku dan kami sekeluarga. Kehilangan dia juga mengajarkan untuk lebih menghargai mama dan mereka yang masih ada bersamaku.
Terima kasih Ya Allah. Terima kasih kerana sudi memberi aku peluang untuk mengenalinya walaupun sekejap. Sesungguhnya memiliki Abah didalam hidupku selama 15 tahun merupakan salah satu anugerah terindah yang Kau kurniakan kepadaku. Terima kasih kerana masih memberiku peluang untuk menikmati masa bersama mereka yang tercinta yang masih bersamaku. Aku bersyukur. Terima Kasih Ya Allah.
Al-fatihah.
1 comment:
alFatihah
p/s merahh. santekk :)
Post a Comment